KERJASAMA MALAYSIA – REPUBLIK KOREA KUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA DALAM SEKTOR TENAGA
13 January 2022

​13 JANUARI - Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dalam ucap utama Bengkel Kerjasama Tenaga Malaysia-Republik Korea Ke-10 hari ini menegaskan bahawa Malaysia komited dalam melaksanakan peralihan tenaga ke arah industri bekalan elektrik yang rendah karbon selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan gas rumah kaca (Green House Gases - GHG) bersih pada tahun 2050.


Bengkel tahunan ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kedutaan Republik Korea telah dihadiri oleh wakil daripada agensi Kerajaan dan swasta di Malaysia serta secara dalam talian oleh wakil agensi dan institusi tenaga serta syarikat dan industri dari Republik Korea. Bengkel ini menyediakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai usaha kedua-dua negara dalam peralihan tenaga serta meneroka peluang dan potensi kerjasama dalam sektor tenaga elektrik bersama pihak industri daripada Republik Korea.

Sepanjang tempoh pelaksanaan kerjasama ini, Malaysia telah mendapat manfaat dari aspek pembangunan modal insan serta kepakaran teknikal yang melibatkan agensi Kerajaan dan swasta terutamanya dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga serta aplikasi dan teknologi nuklear.

Dalam ucapannya, beliau turut mempelawa syarikat Korea yang berpangkalan di Malaysia merebut peluang untuk melanggan Green Energy Tariff (GET) demi memenuhi komitmen Environmental, Social, and Corporate Governance (ESG). Semasa bengkel tersebut, Menteri dan Duta Besar Republik Korea turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian untuk berkolaborasi antara Confreth Sdn. Bhd. dengan Konsortium Korea dalam projek pembangunan teknologi bangunan cekap tenaga (Energy Efficient Building Technology Development Project).


Attachments