Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2020
28 July 2020

​United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) telah mengsiytiharkan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa sebagai sambutan tahunan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kepentingan untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut.

 

KeTSA telah mengadakan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan bertempat di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang, Perak pada 26 Julai 2020.

 

Sambutan kali ini diadakan dalam skala kecil ekoran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa.

 

Antara pengisian program sambutan pada kali ini adalah pengiktirafan sumbangan kepada Badan - Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap aktiviti perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai.

 

Anugerah “Role Model" ini diberikan kepada pihak NGO yang bergiat aktif di bawah Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Bersesuaian di Pesisiran Pantai Negara sejak daripada projek ini mula dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).

 

Selain itu, Buku Flora Mercu Tanda Negeri-Negeri di Malaysia yang diterbitkan oleh FRIM turut dilancarkan. Buku ini memaparkan mengenai nama-nama tempat di seluruh Malaysia yang telah dinamakan bersempena atau mempunyai kaitan dengan spesies-spesies pokok hutan.

 

Kerajaan Persekutuan juga telah melaksanakan inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut melalui “Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara."

 

Sejak bermulanya program ini sehingga bulan Disember 2019, seluas 2,926 hektar kawasan pesisiran pantai di seluruh negara telah ditanam dengan 6.8 juta pokok melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM56.4 juta.

 

#HariKonservasiHutanPayaLaut

#Mangroves

 

 

 

 

Attachments